Friday, February 13, 2009

Blazer kenangan

15 Februari bertandang lagi. Blazer dan kenangan itu saling bersilihganti menggamit rasa.
Saya terkenangkan seseorang yang masih begitu dekat dihati.

Sebenarnya, tidak banyak masa yang kami dapat gunakan untuk bersama. Saya kebetulan bertugas jauh dari daerah kelahiran sedangkan dia membesar di desa Salimandut tercinta. Walau jauh; saya yakin, hati dan perasaan kami diikat dekat oleh jiwa kekeluargaan yang utuh dan doa keselamatan/kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Ketika dia melanjutkan pelajaran ke UKM, saya berkesempatan turut serta menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Ketika saya berkursus selama 2 minggu di Kuala Lumpur; di hujung minggu, dia sempat menemani saya - melawat tempat bersejarah, makan-minum bersama, berjalan dan berbual bersama. Saling mengusik dan ketawa bersama. Berbicara tentang keluarga, pendidikan dan masa depan. Salah satu kenangan terindah. Potret saat-saat terindah...

saya mula faham erti sebenar antara kuantiti dan kualiti masa.

Tamat pengajian, saya/keluarga sempat menyambutnya di KKIA dan dia menghadiahkan kepada saya sehelai blazer; katanya, khas untuk saya!

Blazer itu sehingga kini saya jaga dengan baik, yang sehingga kini sentiasa turut menghimbau kenangan terindah.

Demikian hakikat putaran perjalanan masa dalam kehidupan kita. 15 Februari ini genap 4 tahun ' pemergian ' adik saya Mohd.Hamri @ Herryson menyahut panggilan Ilahi.

Suatu masa blazer itu akan pudar warnanya tapi doa saya/kami akan sentiasa bersama.
Suatu ketika blazer itu akan robek tapi kenangan itu tidak mungkin akan termusnah.
Suatu saat blazer itu akan lenyap tapi kami masih dan terus mengingatimu.

Mengingatimu, mengingatkan kami tentang kematian juga kerana Rasulullah s.a.w. bersabda orang yang bijaksana itu adalah mereka yang sentiasa ingat akan kematian.

Semuanya menjadi iktibar yang amat berguna.

ALFATIHAH...

Monday, February 9, 2009

Pilihan ada ditangan kita (2)

Dalam minggu pertama Februari09 saya berkesempatan bergaul dengan beberapa rakan. Golongan pertama adalah rakan yang berasal di kampung dan sehingga kini masih tinggal di kampung. Golongan kedua, katanya berasal dari kampung tapi kini tinggal di Kota.

Golongan pertama, kalau berbicara bernada perlahan dan memberi perumpamaan pada perkara yang agak kecil. Katanya, dia berusaha untuk melenyapkan fikiran 'alang-alang' yang dipikulnya selama ini. Setiap kali ada rakannya mengajak untuk menanam kelapa sawit@ buah-buahan secara kecil-kecilan, dia akan berkata 'alang-alang' lalu dia tidak melakukan seperti mana yang dilaksanakan oleh rakan-rakannya itu. Mereka mendapat buah dari pokoknya, dia mendapat buah dari tangan rakannya ... buah tangan.

Golongan kedua, bila berkata berkobar-kobar, bersemangat dan memberi contoh cerita kejayaan tokoh-tokoh korporat yang terkenal seperti Raja Gula Robert Kuok, Ananda Krishnan dan Syed Mokhtar Albukhary. Katanya lagi, dia berusaha untuk menggantikan sang Kancilnya dengan sang Rusa.. besar sikit, katanya lagi sambil ketawa.

Saya berfikir, mungkin cara mereka berkata berlainan tetapi arah tujunya sama..ingin berubah!

Lalu saya teringat kata-kata ini -

Manusia dikategorikan kepada 3 golongan;

Hari ini sama dengan kelmarin adalah orang yang terpedaya.
Hari ini lebih teruk dari kelmarin adalah orang yang rugi.
Hari ini lebih baik dari kelmarin adalah orang yang berjaya.


Pilihan ada ditangan kita.