Wednesday, January 28, 2009

Pilihan ada ditangan kita (1)

Saya ucap terimakasih dengan seorang sahabat yang telah berkongsi cerita ini kepada saya. Cerita tentang adik-beradik yang selalu bersaing untuk berjaya. Tapi dalam setiap persaingan itu, selalu abang yang menang. Namun sebagai seorang yang ' berani gagal ', cik adik terus berusaha dan berjaya mendapat satu idea.

Abang! didalam genggaman tangan adik ada seekor anak burung. Anak burung ini mati atau hidup?

Setelah berfikir sejenak, abangnya pun menjawab - Sesungguhnya pilihan ada ditangan adik.

Kenapa? Cik adik bertanya lagi.

Kalau abang cakap burung itu mati, tentunya adik akan membiarkan anak burung itu hidup tetapi disebaliknya kalau abang jawab anak burung itu hidup, pastinya pula adik akan mengenggam kuat anak burung tersebut sehingga mati.

Ya! sesungguhnya kita berhak memilih. Memilih sama ada mahu berjaya atau disebaliknya, lantaran pilihan itu berada dalam tangan kita.

Thursday, January 22, 2009

Untuk kita amalkan

1. Sesiapa yang mahu dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah menghubungkan silaturahim. ( H. Muslim )

2. Hendaklah dikalangan kamu punyai lidah yang terus berzikir, hati yang bersyukur dan isteri solehah yang dapat memberi pertolongan dalam urusan akhirat. ( H. Tirmizi )

3. Berusahalah diawal pagi mencari rezeki dan keperluanmu, sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan. ( H.Thabrani )

4. Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan para syuhada pada hari kiamat. ( H. Tirmizi )

5. Tidaklah digolongkan dalam orang muslim itu mereka yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang tua. ( H. Bukhari )

... untuk kita renungkan dan untuk kita amalkan demi menyubur dan menyalakan cinta kepada Allah, cinta sesama manusia dan cinta sesama makhluk ciptaanNYA yang lain.

Wednesday, January 21, 2009

Gayat

Saya ini seorang jenis manusia yang gayat. Setiap kali, bila berada di tempat yang tinggi dan melihat ke bawah, terasa seolah-olah ada sesuatu benda yang menarik saya jatuh ke bawah. Selain daripada itu, saya merasa pening dan mulailah terasa seolah-olah alam di sekitar kita berputar pantas. Oleh sebab itulah barangkali saya sering merasa ketakutan...takut jatuh.

Ada juga waktu-waktunya saya cuba melawan rasa ketakutan itu dan cuba memanjat pokok kelapa, langsat dan tarap. Tapi ternyata bukan semudah itu.. Kalau berjaya pun sampai di atas, seluruh badan saya menggeletar. Saya harus pula mengambil beberapa minit untuk kembali tenang semula.

Demikianlah keadaan diri saya seadanya. Lalu saya mengambil keputusan untuk tidak lagi berada di atas atau kalau berjaya sampai di puncak pun saya cuba berusaha untuk tidak melihat ke bawah. Tapi saat ini perkara disebaliknya berlaku...

Antara realiti dan mimpi antara anggan dan arah tujuan, saya tiba-tiba berada di atas bangunan yang tinggi. Tanpa dinding tanpa ada apa-apa benda tempat berpaut. Cuma ditemani oleh seorang rakan yang tidak pernah saya kenali. Rakan ini kelihatan begitu bersahaja, tenang, ceria dan stabil. Memerhatikan situasi ini, kegayatan saya semakin menjadi-jadi. Lantaran terjadilah perkara yang paling saya takuti...Jatuh!

Dalam tanggapan minda biasa, tragedi ini akan mengakibatkan kematian atau kecederaan yang amat mengerikan. Tapi sebelum saya jatuh terhempap, rakan yang saya tidak kenali itu menyambut tubuh badan saya sambil tersenyum berkata :


Anda tidak akan jatuh kalau ikhlas...

Anda tidak akan takut jatuh kalau ikhlas...


Saya pun terjaga!

Sunday, January 18, 2009

beberapa coretan semasa hujan di Kota Marudu

Minggu lalu ( minggu kedua bulan januari 2009 ) sekali lagi banjir melanda daerah tercinta ini..

Kakak saya di kampung menghantar sms supaya saya berhati-hati tapi rumah dia di bahagian bawah mula dimasuki air kali kedua pada tahun ini. Dalamnya antara 1 hingga 2 kaki. Saya sekeluarga yang kebetulan tinggal di pekan Kota Marudu tidak ada apa-apa.. hujan ya tapi rumah alhamdulilah tidak dimasuki air.

Begitu orang kita berbudi bahasa. Masih sempat mengirim salam dan doa supaya orang terdekat berada dalam keadaan selamat dan bahagia.


Saya dan seorang rakan berniat dan cuba pergi ke Kg.Paka. Jalan menuju ke kampung tersebut boleh melalui jalan Kota Marudu-Marakparak dan jalan Simpangan-Kotud-Pulutan tapi pada ketika itu kedua-dua jalan tersebut terputus oleh runtuhan jalan asal mahu pun tertimbus oleh air lumpur yang mengalir dari arah atas bukit. Dalam kehampaan, kami sempat bertemu dengan seorang petani positif ( sentiasa mengukir senyum ketika berbicara walau hujan renyai-renyai menimpa dan membasuh mukanya ) dari kg. Paka menuju ke Kg. Kotud untuk ke pekan Kota Marudu bagi mendapatkan barangan keperluan. Kebetulan petani yang saya maksudkan adalah seorang pengusaha halia yang sudah saling kenal-mengenali dan sememangnya tujuan kami ke sana adalah untuk mendapatkan bekalan halia eksport ke Semenanjung Malaysia. Ternyata Tuhan mengabuli niat ikhlas kami. Inti berbincangan, mereka akan berusaha juga untuk menghantar halia tersebut ke pejabat FAMA di Kota Marudu pada keesokan harinya, walaupun jalan terputus oleh timbunan lumpur yang jatuh dari atas bukit.

Untuk menanti munculnya hari esok amat menyeksakan. Namun kepada Ilahi saya bertawakkal. Keesokan harinya, seperti mana yang dirancang akhirnya mereka selamat menghantar halia tersebut ke pejabat kami.

Bila saya tanya bagaimana mereka mengatasi/melalui jalan yang tertimbus oleh tanah lumpur itu, sambil tersenyum mereka berkata.. mereka bergotongroyong melarikan tanah lumpur yang menimbus jalan tersebut.

Disitulah letaknya semangat mereka. Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Janganlah terlalu mengharap yang bulat datang bergolek yang pipih datang melayang. Aku terlihat di wajah mereka ukiran senyum kepuasan dan tanda-tanda kemajuan.

Dalam pada itu pelbagai cerita kukutip daripada para sahabat yang berkisar tentang banjir.. kerosakan tanaman, jalan terputus / rosak yang tentunya memerlukan perhatian dan tindakan selanjutnya. Ada rasa ketidakpuasan, keluhan tidak kurang pentingnya masih ada yang begitu pasrah di atas ketentuan Ilahi. Sedang ramai juga rakan-rakan yang bertugas dan bertungkuslumus sehingga larut malam bagi menghulurkan bantuan...

Friday, January 16, 2009

Sms kepada para sahabat

Dia seorang sahabat yang biasa-biasa saja. Tapi ' biasa-biasa saja ' itu yang membuatkan dia begitu teristimewa di hati saya. Kami sudah sekian lama tidak berhubung..mungkin atas kesibukan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Namun semalam dia muncul dalam sms yang bersahaja tapi cukup menyentuh jiwa..

Kadang-kadang sms
kadang-kadang tidak
kadang-kadang lupa
kadang-kadang semakin menjauh
kadang-kadang jumpa
kadang-kadang tidak
kadang-kadang ingin berbicara
kadang-kadang tidak juga
tapi sahabat jangan keciwa
engkau tetap ku ingat
engkau tetap ku kenang
bukan untuk kadang-kadang,
tapi buat selamanya...

Lalu ku catatkan sms ini
buat kalian para sahabat yang dihormati. Moga setiap jalinan persahabatan
diikat kemas oleh kejujuran dan keikhlasan.