Wednesday, September 9, 2009

Hari-hari Ramadhan

Hari ini dah 20 hari kaum muslimin dan muslimah melepasi hari Ramadhan. Atas rindu ini , terasa sungguh ianya begitu cepat berlalu... sementara baki hari yang ada kita manafaatkan sebaiknya.

Mengharungi hari-hari Ramadhan yang berlalu...sungguh amat bertuah dan amat bersyukur kerana saya berkesempatan mengikuti beberapa program di merata tempat di Sabah... Surau, Masjid Daerah, Masjid Negeri, Pejabat, Restoren dan hotel yang dianjurkan oleh pelbagai pihak ...NGO's, Pertubuhan Belia, Jabatan, Orang perseorangan, Para Pemimpin Atasan dan Pihak Swasta.

Pengisian program juga pelbagai dan amat menarik meliputi jamuan berbuka puasa bersama, tazkirah, sumbangan kewangan kepada mereka yang layak dan kurang kemampuan, bergotongroyong, bersolat berjemaah, berbicara tentang persaudaraan sambil saling nasihat-menasihati tentang kebenaran.

Sungguh damai dan indah dan sesungguhnya dalam keadaan begini saya sentiasa
' irihati' kepada mereka-mereka ini ;

Para dermawan
Petugas yang ringan tulang dan kesukarelawanan
Semangat Mitatabang ( bantu-membantu, saling menyokong dan mendokong )
Ketulusan.

Moga 'irihati' ini sentiasa pula menyuluh sifat mahmudah dalam diri cepat melaksanakan kebaikan.

Salam mencapai kemenangan , buah daripada kesabaran dan ikhlas dalam amal.

Wednesday, August 19, 2009

Salam Ramadan

Maafkan saya sahabat...kalau saya terlupa berhubung
Ampunkanlah saya kawan... kalau saya terlalai berbicara
NIAT untuk berhubung,
berbicara,
berjumpa,
sentiasa ada
tapi kadang - kadang tidak kesampaian
jarang terlaksana
kerap terbantut!

Tapi para sahabat...walau dimanapun anda saat ini
ketika ini
merentasi batas masa, jarak dan daerah
di alam maya
ku kirim pesan
Selamat menyambut bulan mulia..bulan keberkatan...bulan keampunan...
bulan kemenangan...
bulan RAMADAN...sama - sama kita mengharungi dan
menghayatinya dengan tulus.
Selamat berpuasa.....

Wednesday, May 6, 2009

Lagi mengenai jalan

Sememangnya jalan yang menghubungkan antara Tandek - Longob telah menarik perhatian sejak akhir-akhir ini. Ada juga rasa sedih-gembira bercampur-baur. Betapa tidak, jalan yang sudah sekian lama diperjuangkan untuk dinaik taraf kepada jalan ' beraspal ' telah pun menjadi kenyataan tetapi masih ada cakap-cakap yang kurang enak didengar... moga semuanya akan dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Dalam pada itu, ketika menikmati kemudahan jalan ini berhati-hatilah sebab ada juga beberapa insiden kemalangan yang berlaku. Bersama kita menjadi pengguna yang bertanggungjawab.

Satu lagi jalan yang amat penting diutarakan adalah jalan Kota Belud-Kota Marudu. Kalau tak silap jalan tersebut juga telah disebut dalam belanjawaan sebelum ini tetapi sehingga kini belum ada tanda-tanda perlaksanaannya akan bermula. Kerosakan dan tebing jalan yang runtuh menandakan jalan tersebut perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Seperti kebanyakan jalan lain, moga kedua-dua jalan perhubungan ini pemangkin mengeratkan hubungan keakraban merentasi sempadan, pencetus pertumbuhan ekonomi, saluran memperkasakan pembangunan minda dan sikap dan selebihnya.. inilah suara rakyat yang harus didahulukan...

Thursday, March 5, 2009

Mitatabang ( 1 )

Mitatabang adalah perkataan dusun kimaragang. Dalam bahasa malaysia ianya lebih kurang bermaksud tolong-menolong, bergotong-royong atau saling mendokong/menyokong diantara satu dengan yang lain.

Ketika saya diusia kanak-kanak lagi, saya sudah terdedah bukan sahaja dengan perkataan tersebut malah ikut terlibat sama dalam amalan budaya yang sangat unik dan baik ini. Tapi saat itu, terus terang saya mengakui bahawa makna tersirat daripada amalan ini tidak sepenuhnya saya fahami dan hayati.

Dari segi konsep perlaksanaannya, ada seorang ketua yang mengumpul beberapa orang yang berminat untuk menyertainya. ( Seingat saya peserta yang terlibat waktu itu dalam lingkungan 40 hingga 50 orang ). Lepas itu ditentukan jadual @ undian tempat@tanah siapa yang pertama dikerjakan/dibersihkan/ditanam secara bersama, kemudian diikuti oleh peserta yang kedua. Begitulah pusingan selanjutnya sehingga sampai kepada peserta terakhir,yang kadang-kadang mengambil masa sehingga 2-3 bulan. Tetapi jika ada peserta yang mahu gilirannya didahulukan ( meminta laluan ) atas alasan yang kukuh dan munasabah, maka orang tersebut mestilah merujuk kepada ketua dan selanjutnya akan diadakan perundingan kedua-dua pihak yang terlibat.

Paling menyeronokkan bila tiba masa rehat untuk makan tengahari. Makan bersama sambil bertukar lauk-pauk. Terkadang, ada juga segelintir yang sengaja tidak membawa bekal atau sememangnya tidak ada bekal yang hendak dibawa..tapi indahnya; pasti orang lain, malah ramai yang akan mempelawa untuk makan bersama...walau pun tidak seberapa...!

Demikian cara hidup penduduk bertani masa itu. Hampir 70% atau lebih diusahakan secara mitatabang. Kerja susah menjadi senang@mudah.

Sesekali pulang ke desa; berjumpa dan berbicara dengan rakan-rakan sebaya berumur 40an dan ke atas memang meriuhkan. Nada dan tawa masih sama walau dalam persekitaran yang berbeza.

Moga semangat amalan ini terus dipelihara dan disuburkan.

Sunday, March 1, 2009

Pandu

Pada kebiasaannya, kita sering mengingati perkara-perkara yang pada tanggapan kita begitu hebat yang berlaku dalam kehidupan kita. Contoh, kita akan bercerita bagaimana kita berusaha berjumpa dengan pak menteri untuk mendapatkan kelulusan dalam pembinaan jalanraya, bekalan air, menaiktaraf dewan dan sebagainya. Semuanya menggambarkan kehebatan kita!

Dalam pada itu, terlalu jarang kita mendengar cerita-cerita yang dianggap kecil tetapi boleh diangkat menjadi begitu hebat. Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang sahabat lama. Katanya, ada satu pengalamannya yang mahu dikongsikan bersama.

Dia berasal daripada Kota Marudu juga. Sebuah kota yang sederhana sibuk dan berpotensi untuk berkembang maju. Katanya, setiap kali dia akan pergi ke Bandaraya Kota Kinabalu, perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya adalah kesesakan lalulintas dan kesukaran meletak kereta... jestru itu, dia bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah supaya dimudahkan perjalanan dan urusan mendapatkan tempat meletak kereta di bandaraya tersebut.

Dan selalunya, katanya lagi, laluannya dipermudahkan dan dia akan mendapat tempat letak kereta yang paling sesuai seperti apa yang dia harapkan. Tapi kalau tak dapat juga, saya tidak akan keciwa dan marah-marah kerana janji Ilahi adalah benar; ada permintaan hambaNya yang dimakbulkan secara cepat, ada juga yang tertunda, sambungnya lagi.

Saya terfikir, ini adalah ubat mujarab yang menjadi penawar kepada perasaan amarah dan stress ketika memandu dan ketika mencari parking lot tanpa mengira di mana tempat kita berada.

Selamat memandu mengikut peraturan.
Memandulah dengan tenang dan selamat.

Friday, February 13, 2009

Blazer kenangan

15 Februari bertandang lagi. Blazer dan kenangan itu saling bersilihganti menggamit rasa.
Saya terkenangkan seseorang yang masih begitu dekat dihati.

Sebenarnya, tidak banyak masa yang kami dapat gunakan untuk bersama. Saya kebetulan bertugas jauh dari daerah kelahiran sedangkan dia membesar di desa Salimandut tercinta. Walau jauh; saya yakin, hati dan perasaan kami diikat dekat oleh jiwa kekeluargaan yang utuh dan doa keselamatan/kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Ketika dia melanjutkan pelajaran ke UKM, saya berkesempatan turut serta menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Ketika saya berkursus selama 2 minggu di Kuala Lumpur; di hujung minggu, dia sempat menemani saya - melawat tempat bersejarah, makan-minum bersama, berjalan dan berbual bersama. Saling mengusik dan ketawa bersama. Berbicara tentang keluarga, pendidikan dan masa depan. Salah satu kenangan terindah. Potret saat-saat terindah...

saya mula faham erti sebenar antara kuantiti dan kualiti masa.

Tamat pengajian, saya/keluarga sempat menyambutnya di KKIA dan dia menghadiahkan kepada saya sehelai blazer; katanya, khas untuk saya!

Blazer itu sehingga kini saya jaga dengan baik, yang sehingga kini sentiasa turut menghimbau kenangan terindah.

Demikian hakikat putaran perjalanan masa dalam kehidupan kita. 15 Februari ini genap 4 tahun ' pemergian ' adik saya Mohd.Hamri @ Herryson menyahut panggilan Ilahi.

Suatu masa blazer itu akan pudar warnanya tapi doa saya/kami akan sentiasa bersama.
Suatu ketika blazer itu akan robek tapi kenangan itu tidak mungkin akan termusnah.
Suatu saat blazer itu akan lenyap tapi kami masih dan terus mengingatimu.

Mengingatimu, mengingatkan kami tentang kematian juga kerana Rasulullah s.a.w. bersabda orang yang bijaksana itu adalah mereka yang sentiasa ingat akan kematian.

Semuanya menjadi iktibar yang amat berguna.

ALFATIHAH...

Monday, February 9, 2009

Pilihan ada ditangan kita (2)

Dalam minggu pertama Februari09 saya berkesempatan bergaul dengan beberapa rakan. Golongan pertama adalah rakan yang berasal di kampung dan sehingga kini masih tinggal di kampung. Golongan kedua, katanya berasal dari kampung tapi kini tinggal di Kota.

Golongan pertama, kalau berbicara bernada perlahan dan memberi perumpamaan pada perkara yang agak kecil. Katanya, dia berusaha untuk melenyapkan fikiran 'alang-alang' yang dipikulnya selama ini. Setiap kali ada rakannya mengajak untuk menanam kelapa sawit@ buah-buahan secara kecil-kecilan, dia akan berkata 'alang-alang' lalu dia tidak melakukan seperti mana yang dilaksanakan oleh rakan-rakannya itu. Mereka mendapat buah dari pokoknya, dia mendapat buah dari tangan rakannya ... buah tangan.

Golongan kedua, bila berkata berkobar-kobar, bersemangat dan memberi contoh cerita kejayaan tokoh-tokoh korporat yang terkenal seperti Raja Gula Robert Kuok, Ananda Krishnan dan Syed Mokhtar Albukhary. Katanya lagi, dia berusaha untuk menggantikan sang Kancilnya dengan sang Rusa.. besar sikit, katanya lagi sambil ketawa.

Saya berfikir, mungkin cara mereka berkata berlainan tetapi arah tujunya sama..ingin berubah!

Lalu saya teringat kata-kata ini -

Manusia dikategorikan kepada 3 golongan;

Hari ini sama dengan kelmarin adalah orang yang terpedaya.
Hari ini lebih teruk dari kelmarin adalah orang yang rugi.
Hari ini lebih baik dari kelmarin adalah orang yang berjaya.


Pilihan ada ditangan kita.

Wednesday, January 28, 2009

Pilihan ada ditangan kita (1)

Saya ucap terimakasih dengan seorang sahabat yang telah berkongsi cerita ini kepada saya. Cerita tentang adik-beradik yang selalu bersaing untuk berjaya. Tapi dalam setiap persaingan itu, selalu abang yang menang. Namun sebagai seorang yang ' berani gagal ', cik adik terus berusaha dan berjaya mendapat satu idea.

Abang! didalam genggaman tangan adik ada seekor anak burung. Anak burung ini mati atau hidup?

Setelah berfikir sejenak, abangnya pun menjawab - Sesungguhnya pilihan ada ditangan adik.

Kenapa? Cik adik bertanya lagi.

Kalau abang cakap burung itu mati, tentunya adik akan membiarkan anak burung itu hidup tetapi disebaliknya kalau abang jawab anak burung itu hidup, pastinya pula adik akan mengenggam kuat anak burung tersebut sehingga mati.

Ya! sesungguhnya kita berhak memilih. Memilih sama ada mahu berjaya atau disebaliknya, lantaran pilihan itu berada dalam tangan kita.

Thursday, January 22, 2009

Untuk kita amalkan

1. Sesiapa yang mahu dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah menghubungkan silaturahim. ( H. Muslim )

2. Hendaklah dikalangan kamu punyai lidah yang terus berzikir, hati yang bersyukur dan isteri solehah yang dapat memberi pertolongan dalam urusan akhirat. ( H. Tirmizi )

3. Berusahalah diawal pagi mencari rezeki dan keperluanmu, sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan. ( H.Thabrani )

4. Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan para syuhada pada hari kiamat. ( H. Tirmizi )

5. Tidaklah digolongkan dalam orang muslim itu mereka yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang tua. ( H. Bukhari )

... untuk kita renungkan dan untuk kita amalkan demi menyubur dan menyalakan cinta kepada Allah, cinta sesama manusia dan cinta sesama makhluk ciptaanNYA yang lain.

Wednesday, January 21, 2009

Gayat

Saya ini seorang jenis manusia yang gayat. Setiap kali, bila berada di tempat yang tinggi dan melihat ke bawah, terasa seolah-olah ada sesuatu benda yang menarik saya jatuh ke bawah. Selain daripada itu, saya merasa pening dan mulailah terasa seolah-olah alam di sekitar kita berputar pantas. Oleh sebab itulah barangkali saya sering merasa ketakutan...takut jatuh.

Ada juga waktu-waktunya saya cuba melawan rasa ketakutan itu dan cuba memanjat pokok kelapa, langsat dan tarap. Tapi ternyata bukan semudah itu.. Kalau berjaya pun sampai di atas, seluruh badan saya menggeletar. Saya harus pula mengambil beberapa minit untuk kembali tenang semula.

Demikianlah keadaan diri saya seadanya. Lalu saya mengambil keputusan untuk tidak lagi berada di atas atau kalau berjaya sampai di puncak pun saya cuba berusaha untuk tidak melihat ke bawah. Tapi saat ini perkara disebaliknya berlaku...

Antara realiti dan mimpi antara anggan dan arah tujuan, saya tiba-tiba berada di atas bangunan yang tinggi. Tanpa dinding tanpa ada apa-apa benda tempat berpaut. Cuma ditemani oleh seorang rakan yang tidak pernah saya kenali. Rakan ini kelihatan begitu bersahaja, tenang, ceria dan stabil. Memerhatikan situasi ini, kegayatan saya semakin menjadi-jadi. Lantaran terjadilah perkara yang paling saya takuti...Jatuh!

Dalam tanggapan minda biasa, tragedi ini akan mengakibatkan kematian atau kecederaan yang amat mengerikan. Tapi sebelum saya jatuh terhempap, rakan yang saya tidak kenali itu menyambut tubuh badan saya sambil tersenyum berkata :


Anda tidak akan jatuh kalau ikhlas...

Anda tidak akan takut jatuh kalau ikhlas...


Saya pun terjaga!

Sunday, January 18, 2009

beberapa coretan semasa hujan di Kota Marudu

Minggu lalu ( minggu kedua bulan januari 2009 ) sekali lagi banjir melanda daerah tercinta ini..

Kakak saya di kampung menghantar sms supaya saya berhati-hati tapi rumah dia di bahagian bawah mula dimasuki air kali kedua pada tahun ini. Dalamnya antara 1 hingga 2 kaki. Saya sekeluarga yang kebetulan tinggal di pekan Kota Marudu tidak ada apa-apa.. hujan ya tapi rumah alhamdulilah tidak dimasuki air.

Begitu orang kita berbudi bahasa. Masih sempat mengirim salam dan doa supaya orang terdekat berada dalam keadaan selamat dan bahagia.


Saya dan seorang rakan berniat dan cuba pergi ke Kg.Paka. Jalan menuju ke kampung tersebut boleh melalui jalan Kota Marudu-Marakparak dan jalan Simpangan-Kotud-Pulutan tapi pada ketika itu kedua-dua jalan tersebut terputus oleh runtuhan jalan asal mahu pun tertimbus oleh air lumpur yang mengalir dari arah atas bukit. Dalam kehampaan, kami sempat bertemu dengan seorang petani positif ( sentiasa mengukir senyum ketika berbicara walau hujan renyai-renyai menimpa dan membasuh mukanya ) dari kg. Paka menuju ke Kg. Kotud untuk ke pekan Kota Marudu bagi mendapatkan barangan keperluan. Kebetulan petani yang saya maksudkan adalah seorang pengusaha halia yang sudah saling kenal-mengenali dan sememangnya tujuan kami ke sana adalah untuk mendapatkan bekalan halia eksport ke Semenanjung Malaysia. Ternyata Tuhan mengabuli niat ikhlas kami. Inti berbincangan, mereka akan berusaha juga untuk menghantar halia tersebut ke pejabat FAMA di Kota Marudu pada keesokan harinya, walaupun jalan terputus oleh timbunan lumpur yang jatuh dari atas bukit.

Untuk menanti munculnya hari esok amat menyeksakan. Namun kepada Ilahi saya bertawakkal. Keesokan harinya, seperti mana yang dirancang akhirnya mereka selamat menghantar halia tersebut ke pejabat kami.

Bila saya tanya bagaimana mereka mengatasi/melalui jalan yang tertimbus oleh tanah lumpur itu, sambil tersenyum mereka berkata.. mereka bergotongroyong melarikan tanah lumpur yang menimbus jalan tersebut.

Disitulah letaknya semangat mereka. Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Janganlah terlalu mengharap yang bulat datang bergolek yang pipih datang melayang. Aku terlihat di wajah mereka ukiran senyum kepuasan dan tanda-tanda kemajuan.

Dalam pada itu pelbagai cerita kukutip daripada para sahabat yang berkisar tentang banjir.. kerosakan tanaman, jalan terputus / rosak yang tentunya memerlukan perhatian dan tindakan selanjutnya. Ada rasa ketidakpuasan, keluhan tidak kurang pentingnya masih ada yang begitu pasrah di atas ketentuan Ilahi. Sedang ramai juga rakan-rakan yang bertugas dan bertungkuslumus sehingga larut malam bagi menghulurkan bantuan...

Friday, January 16, 2009

Sms kepada para sahabat

Dia seorang sahabat yang biasa-biasa saja. Tapi ' biasa-biasa saja ' itu yang membuatkan dia begitu teristimewa di hati saya. Kami sudah sekian lama tidak berhubung..mungkin atas kesibukan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Namun semalam dia muncul dalam sms yang bersahaja tapi cukup menyentuh jiwa..

Kadang-kadang sms
kadang-kadang tidak
kadang-kadang lupa
kadang-kadang semakin menjauh
kadang-kadang jumpa
kadang-kadang tidak
kadang-kadang ingin berbicara
kadang-kadang tidak juga
tapi sahabat jangan keciwa
engkau tetap ku ingat
engkau tetap ku kenang
bukan untuk kadang-kadang,
tapi buat selamanya...

Lalu ku catatkan sms ini
buat kalian para sahabat yang dihormati. Moga setiap jalinan persahabatan
diikat kemas oleh kejujuran dan keikhlasan.