Thursday, March 5, 2009

Mitatabang ( 1 )

Mitatabang adalah perkataan dusun kimaragang. Dalam bahasa malaysia ianya lebih kurang bermaksud tolong-menolong, bergotong-royong atau saling mendokong/menyokong diantara satu dengan yang lain.

Ketika saya diusia kanak-kanak lagi, saya sudah terdedah bukan sahaja dengan perkataan tersebut malah ikut terlibat sama dalam amalan budaya yang sangat unik dan baik ini. Tapi saat itu, terus terang saya mengakui bahawa makna tersirat daripada amalan ini tidak sepenuhnya saya fahami dan hayati.

Dari segi konsep perlaksanaannya, ada seorang ketua yang mengumpul beberapa orang yang berminat untuk menyertainya. ( Seingat saya peserta yang terlibat waktu itu dalam lingkungan 40 hingga 50 orang ). Lepas itu ditentukan jadual @ undian tempat@tanah siapa yang pertama dikerjakan/dibersihkan/ditanam secara bersama, kemudian diikuti oleh peserta yang kedua. Begitulah pusingan selanjutnya sehingga sampai kepada peserta terakhir,yang kadang-kadang mengambil masa sehingga 2-3 bulan. Tetapi jika ada peserta yang mahu gilirannya didahulukan ( meminta laluan ) atas alasan yang kukuh dan munasabah, maka orang tersebut mestilah merujuk kepada ketua dan selanjutnya akan diadakan perundingan kedua-dua pihak yang terlibat.

Paling menyeronokkan bila tiba masa rehat untuk makan tengahari. Makan bersama sambil bertukar lauk-pauk. Terkadang, ada juga segelintir yang sengaja tidak membawa bekal atau sememangnya tidak ada bekal yang hendak dibawa..tapi indahnya; pasti orang lain, malah ramai yang akan mempelawa untuk makan bersama...walau pun tidak seberapa...!

Demikian cara hidup penduduk bertani masa itu. Hampir 70% atau lebih diusahakan secara mitatabang. Kerja susah menjadi senang@mudah.

Sesekali pulang ke desa; berjumpa dan berbicara dengan rakan-rakan sebaya berumur 40an dan ke atas memang meriuhkan. Nada dan tawa masih sama walau dalam persekitaran yang berbeza.

Moga semangat amalan ini terus dipelihara dan disuburkan.

Sunday, March 1, 2009

Pandu

Pada kebiasaannya, kita sering mengingati perkara-perkara yang pada tanggapan kita begitu hebat yang berlaku dalam kehidupan kita. Contoh, kita akan bercerita bagaimana kita berusaha berjumpa dengan pak menteri untuk mendapatkan kelulusan dalam pembinaan jalanraya, bekalan air, menaiktaraf dewan dan sebagainya. Semuanya menggambarkan kehebatan kita!

Dalam pada itu, terlalu jarang kita mendengar cerita-cerita yang dianggap kecil tetapi boleh diangkat menjadi begitu hebat. Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang sahabat lama. Katanya, ada satu pengalamannya yang mahu dikongsikan bersama.

Dia berasal daripada Kota Marudu juga. Sebuah kota yang sederhana sibuk dan berpotensi untuk berkembang maju. Katanya, setiap kali dia akan pergi ke Bandaraya Kota Kinabalu, perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya adalah kesesakan lalulintas dan kesukaran meletak kereta... jestru itu, dia bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah supaya dimudahkan perjalanan dan urusan mendapatkan tempat meletak kereta di bandaraya tersebut.

Dan selalunya, katanya lagi, laluannya dipermudahkan dan dia akan mendapat tempat letak kereta yang paling sesuai seperti apa yang dia harapkan. Tapi kalau tak dapat juga, saya tidak akan keciwa dan marah-marah kerana janji Ilahi adalah benar; ada permintaan hambaNya yang dimakbulkan secara cepat, ada juga yang tertunda, sambungnya lagi.

Saya terfikir, ini adalah ubat mujarab yang menjadi penawar kepada perasaan amarah dan stress ketika memandu dan ketika mencari parking lot tanpa mengira di mana tempat kita berada.

Selamat memandu mengikut peraturan.
Memandulah dengan tenang dan selamat.